RAHSIA SEDEKAH

Banyak rahsia-rahsia sedekah yang diperjelaskan dalam Al-Quran untuk manusia mengambil pengajaran dan beramal sedekah. Begitu juga dengan hadis-hadis nabi dan kata-kata para sahabat junjungan nabi SAW.

Nabi Muhammad SAW sendiri pernah bersabda, "Hendaklah kamu semua mencari rezeki dengan bersedekah".

Pesanan sahabat Rasulullah SAW Saidina Ali Bin Abi Talib Karamullahu Wajhah berkaitan sedekah:

1. "Peliharalah iman kalian dengan bersedekah".

2. "Mohonlah kepada Allah diturunkanNya rezeki dengan banyak bersedekah".

3. "Jika kamu miskin, berdaganglah dengan Allah Taala dengan bersedekah".

Daripada pesanan di atas, kita dapat merumuskan bahawa sedekah juga merupakan satu ibadah bukan wajib tetapi amat digalakkan di dalam Islam. Dengan bersedekah, manusia terputus daripada sifat-sifat kikir, bakhil dan kedekut dan menimbulkan sifat prihatin kepada saudara seagamanya, membantu ekonomi ummah yakni yang kaya dapat membantu yang miskin, memantapkan hubungan silaturahim dan mendapat perlindungan dari Allah.

Sedekah tidak tertakluk pada harta dan kewangan semata-mata. Antara sebahagian amalan-amalan sedekah yang mudah dan mampu dilakukan sesiapa sahaja tidak mengira kaya ataupun miskin ialah :

  • Memberi nafkah kepada keluarga, menyediakan makan minum, tempat tinggal, kemudahan dan seumpamanya.
  • Menolong saudara dalam kesusahan, samaada dengan harta, nasihat, bantuan kudrat dan seumpamanya.
  • Ucapan tutur kata yang baik kepada orang lain.
  • Membuat amalan yang biasa dipandang remeh seperti membuang duri, paku, kayu atau halangan dari jalan raya atau laluan kenderaan.
  • Murah senyuman, mudah tersenyum dengan wajah yang berseri.
  • Amar makruf nahi mungkar, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
  • Menahan diri dari melakukan kejahatan.
  • Mengucapkan salam kepada saudara.
  • Mengajarkan ilmu kepada orang lain.
  • Tanaman dimakan binatang.
  • Solat secara berjemaah.
  • Membantu orang yang pekak tuli supaya dapat mendengar.
  • Bertasbih, bertahmid dan bertahlil.
Justeru, jika selama ini kita hanya memandang sedekah dari sudut kewangan sahaja, merasakan kita tidak mampu untuk bersedekah atau sedekah hanya hak milik orang kaya sahaja, sekarang sesiapa sahaja mampu bersedekah walaupun hanya dengan SEKUNTUM SENYUMAN IKHLAS YANG MENAWAN! Jangan bertangguh lagi melakukan amalan soleh ini kerana sedekah-sedekah kita jika ke jalan yang baik bakal menjadi ROYALTI kepada kita di akhirat kelak. InsyaALLAH.


(Ruj. : "Al-Quran : Rahsia Terunggul", Ali Ahmad Maleya)