KISAH SEDEKAH TELADAN TOKOH IDOLA ISLAM

Banyak kisah-kisah teladan mengenai hikmah dan fadhilah sedekah sedari zaman Rasulullah SAW dahulu lagi. Pernah satu ketika Rasulullah SAW menyuruh para sahabatnya mengeluarkan sedikit infak (sedekah) untuk perjuangan ummah Islam. Lalu sahabatnya Saidina Umar RA cuba menyaingi Saidina Abu Bakar dalam soal sedekah ini. Separuh hartanya dibawa bersama berjumpa Rasulullah SAW, Justeru Al-Amin bertanya,

"Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu Ya Umar?". Lalu Saidina Umar RA menjawab,

"Aku tinggalkan separuh dari hartaku untuk mereka Ya Rasulullah."

Datang pula Saidina Abu Bakar As-Siddiq berjumpa Rasulullah SAW dengan membawa seluruh hartanya untuk didermakan ke Jalan Allah. Rasulullah SAW pun bertanya,

"Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?". Lalu Saidina Abu Bakar As-Siddiq pun menjawab,

"Aku tinggalkan kepada keluargaku Allah dan Rasul-Nya SAW". Ringkas sahaja jawapan Saidina Abu Bakar As-Siddiq tapi cukup menggambarkan betapa besarnya nilai sedekah dalam menyebarkan syiar Islam pada masa dahulu.

Dalam riwayat lain, teladan Saidina Uthman bin Affan RA wajar dicontohi ummah Islam pada zaman ini. Rasulullah SAW bersabda,
"Siapa yang mahu membelikan untuk kita perigi ar-Rumah lalu menyedekahkannya kepada kaum Muslimin? Semoga Allah memberinya minum dari kehausan pada hari kiamat. Akhirnya Uthman membeli perigi itu dan menyedekahkannya untuk umat Islam." (Hadis Riwayat Ibn Adi-Ibn Asakir)

Bayangkan dengan menyediakan tempat minuman di masjid atau surau di kawasan kita sahaja, untuk menghilangkan kehausan orang yang datang beribadah di rumah Allah bakal memberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda semuanya dengan izin Allah.

Begitulah hebatnya sedekah yang ditunjukkan golongan sahabat-sahabat Rasulullah SAW ke jalan Allah. Sepotong ayat Al-Quran berbunyi,

"Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai, dan apa sahaja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah SWT mengetahuinya."
(Ali-Imran : 92)

Justeru, apa yang kamu cintai? Harta? Maka sedekahkanlah ia. Nyawa? Maka berjihadlah membantu menentang musuh-musuh Islam, sama ada di Palestin, di Iraq, di Afghanistan, di Pattani, fi kuli makaan.

Teladan sedekah tokoh muslimah ditunjukkan Ummul Mukminin Zainab Binti Jahsy. Zainal adalah seorang wanita yang sangat mahir membuat pertukangan tangan, menenun dan menyamak kulit untuk menghasilkan manik. Hasil kerja tangan Zainab dipakai oleh tentera-tentera Islam di medan perang. Pendapatan Zainab disedekahkan kembali fi sabilillah.

Jadi bisneswoman-bisneswoman hebat di luar sana, marilah kita mencontohi teladan Ummul Mukminin ini. Selain zakat yang wajib, keluarkan sedekah ke jalan Allah, untuk perjuangan Islam dan untuk pendidikan anak-anak Islam. Yang penting niat itu ikhlas, bukan mengejar gelaran Dato', Tan Sri, CEO Terbaik Tahunan, Penderma Amal Terbanyak dan segala unsur-unsur yang menjurus kepada riak. Sesungguhnya riak itu membatalkan pahala amalan kebajikan dan melunturkan kemurniaan akhlak, juga tergolong syirik kecil.

Beristighfarlah bila dipuji, sabar dan redha bila dikeji. Buat amal kebajikan untuk mendapat keredhaan Allah, bukan keredhaan manusia. Namun dibolehkan jika sedekah itu diperlihatkan dengan niat yang betul dan ikhlas untuk menyeru orang ramai supaya mencontohi atau gemar melakukan amal kebajikan yang sama seperti bersedekah secara terang-terangan di hadapan khalayak ramai supaya yang lain turut mengikutinya dengan penuh ihsan dan ikhlas, memperlihatkan sedekah agar dicontohi semata-mata tidak dilarang dalam Islam. Apapun segala-galanya bergantung pada niat.

"Sesungguhnya amal perbuatan itu bergantung kepada niat dan sesungguhnya (amal perbuatan) bagi setiap orang itu sesuai dengan apa yang ia niat." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika kita mula bersedekah dan menunjuk jalan bersedekah untuk dicontohi orang lain, InsyaALLAH kita turut mendapat pahala sebesar pahala orang yang mengeluarkan sedekah tersebut, selari dengan hadis,

"Barangsiapa yang menunjukkan atas kebaikan, maka baginya pahala sebesar pahala orang yang mengerjakannya." (Hadis Riwayat Abu Mas'ud Al-Bari)

Apa yang baik datangnya dari Allah SWT, apa yang buruk datangnya dari kekurangan dan kelemahan penulis sendiri. Wallahu 'alam.

(Rujukan : 1. "Hikmah Terapi Sedekah", Hasan bin Ahmad bin Hassan Hammmam.,
2. "Bahaya Riak Dalam Kehidupan Muslim", Drs. Hanafi Mohamed.)