SECANGKIR HIKMAH TERAPI SEDEKAH

Sedekah (dari perkataan 'as-sidq' yakni benar) adalah sunat, harta dikeluarkan oleh manusia untuk mendekatkan diri dengan Allah, manakala zakat pula adalah wajib.

Sedekah adalah yang terutama berbanding amalan-amalan lain, berkata sahabat Abdul Aziz Bin Umair bahawa, "Solat akan menghantar kamu menuju setengah perjalanan, puasa menghantar kamu ke pintu kerajaan dan sedekah memasukkan kamu ke dalamnya."

Dari kitab Ihya 'Ulumuddin, sahabat Ibn Abi Al-Ja'd berkata, "Sesungguhnya sedekah menolak 70 pintu keburukan." Begitulah hebatnya ganjaran ibadah sunat yang satu ini.

Sedekah meneutralkan sifat bakhil yang tertanam dalam diri seorang manusia. Seorang sahabat Abu Hatim as-Sibti menyebut, "Bakhil adalah pokok di neraka yang dahannya di dunia. Sesiapa yang bergantung pada dahan-dahannya, dia akan mendorongnya ke neraka. Sebagaimana dermawan adalah pokok di syurga dan dahan-dahannya di dunia. Siapa yang bergantung dengan dahan-dahannya, maka ia akan mendorongnya ke syurga dan syurga adalah rumah orang-orang yang dermawan."

FADHILAT SEDEKAH

1 ) Sedekah menyucikan dan membersihkan hati, bukti nyata ('burhan') keimanan seseorang hamba-Nya.

2) Sedekah merupakan ciri-ciri orang yang beriman, sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim Ayat 31, "Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang telah beriman, 'Hendaklah mereka mendirikan solat, menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi atau pun terang-terangan sebelum datang hari (kiamat) yang pada hari itu tidak ada jual beli dan persahabatan."

3) Sedekah melindungi orang beriman dari perkara yang dahsyat di hari akhirat. (Sedekah termasuk dalam 7 golongan yang mendapat naungan Allah di hari Akhirat) iaitu mengikut Hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, "Seorang yang bersedekah dan merahsiakan sedekah itu sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan tangan kanannya."

4) Sedekah menghindari keburukan dan sifat-sifatnya serta mencegah kematian yang buruk (Su'ul Khatimah).

5) Sedekah menolak segala bala yang melanda, Ibn Qasim menafsirkan, sedekah memiliki kesan yang luar biasa untuk menolak pelbagai jenis bala meskipun sedekah itu dikeluarkan oleh orang fasik, zalim atau kafir. Dengan mengeluarkan sedekah, Allah SWT akan menolak bala yang akan menimpa orang itu. (dari kitab Al-Wabil ash-Shaib)

6) Allah menggantikan apa sahaja yang kita keluarkan untuk bersedekah, sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah Saba Ayat 39, "Katakanlah, Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya).' Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka Allah SWT akan menggantinya dan Dialah sebaik-baik Pemberi Rezeki." Percayalah dengan janji Allah dalam Al-Quran.
Ini juga selari dengan hadis Nabi, "Wahai Anak Adam! Berinfaklah (bersedekahlah), kamu akan (mendapat) infak." (Hadis Riwayat Muslim) yang juga bermaksud "What you give, you will get back."

7) Pahala sedekah tidak pernah putus walaupun seseorang itu meninggal dunia, selari dengan hadis berikut, "Ketika anak cucu Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali 3 perkara: sedekah jariah, ilmu bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim dari Riwayat Abu Hurairah)

8) Sedekah menghapuskan kesalahan. Maksud hadis, "Sedekah dapat melenyapkan kesalahan sebagaimana air memadamkan api." (Hadis Riwayat Tirmizi)

(Sumber Rujukan : "Hikmah Terapi Sedekah", Hassan Bin Ahmad Bin Hassan Hammmam)
Lagi laman berkaitan fadhilat dan kebaikan bersedakah :